Ahad, 18 Mac 2012

TUN RAZAK PENGGERAK PEMBANGUNAN NEGARA



14 Januari 1976 sejarah terukir apabila Malaysia kehilangan seorang tokoh negarawan yang telah mengabadikan setiap denyut nadinya untuk mengisi dan memberi erti kepada Kemerdekaan. Seluruh negara tersentak kerana mereka kehilangan seorang tokoh pejuang bangsa yang dihormati dan disegani bukan sahaja kerana sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan negara tetapi juga seorang pemimpin dinamis yang sukar dicari ganti. Rakyat dikejutkan dengan berita pemergian Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein kerana penyakit leukemia.

   Tun Abdul Razak dilantik menjadi Menteri Pelajaran dalam Kabinet yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan juga sebagai Ketua Whip dalam Majlis Undangan Persekutuan pada 9 Ogos 1955 berikutan kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955. Kemenangan besar Perikatan adalah atas undi yang tidak berasaskan perkauman, ramai calon bukan Melayu yang menang di kawasan Melayu.
   Di sinilah kaliber kepimpinan Tun Abdul Razak semakin terserlah. Ketokohannya sebagai nasionalis memberikan kekuatan dengan ketegasannya memperkenalkan beberapa langkah berani dalam Penyata Razak untuk memenuhi harapan sebilangan besar rakyat bagi membentuk bangsa merdeka beridentitikan Malaya. Pada masa ini kebanyakan sekolah Cina di bandar-bandar besar telah disusupi oleh anasir komunis. Beliau mengambil tindakan dengan menyekat penyusupan ini dengan menutup sementara sekolah yang tidak mengendahkan amaran kerajaan. Bagi menjayakan tindakan tersebut, beliau telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji dasar pelajaran yang ada dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan yang boleh diterima oleh seluruh rakyat persekutuan. Dasar ini juga perlu memenuhi hasrat meningkatkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik sebagai suatu bangsa dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa mengenepikan pertumbuhan bahasa dan kebudayaan kaum yang lain.

   Penyata Razak 1956 ini merupakan polisi yang agak radikal dalam usaha membawa perubahan besar bagi sekolah-sekolah dengan matlamat utama untuk menyatupadukan rakyat. Antara perkara utama yang terkandung di dalam Penyata ini adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang berbahasa pengantar bahasa Melayu dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Kuo-Yu, Tamil dan Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Namun bahasa Melayu buat pertama kali diajarkan di semua Sekolah Jenis Kebangsaan. Ini adalah proses untuk menjadikannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dasar yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini juga menetapkan kandungan pelajaran yang sama di semua peringkat sekolah untuk menyemai semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari pelbagai kaum. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga untuk membangunkan negara.

 Didorong bayangan kemunduran dan kemiskinin desa semasa kecil di bawah pemerintahan British dan kekejaman Jepun dalam usia remajanya menjadikan usaha memperbaiki kehidupan penduduk kampung menjadi agenda utama apabila menerajui Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Federal Land Development Authority (FELDA) merupakan idea cetusan Tun Abdul Razak yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan. Antara projek terawal yang dilaksanakan oleh FELDA ialah pembukaan rancangan tanah Lembah Bilut (1957) yang meliputi kawasan seluas 22 batu persegi melibatkan perbelanjaan sebanyak $2.5 juta. Melalui rancangan ini setiap peserta diberi tanah seluas tujuh ekar bagi tanaman getah dan tiga ekar tanah dusun. Dari sebuah idea kecil, hari ini FELDA telah menjadi sebuah organisasi raksasa dengan pembukaan lebih setengah juta hektar tanah dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari FELDA.

   Agenda pembangunan Tun Abdul Razak tidak pernah berhenti. Di bawah terajunya orang-orang kampung di awal-awal tahun enam puluhan mula dapat menikmati sinaran lampu elektrik menggantikan lampu minyak tanah, air perigi digantikan dengan air paip. Buta huruf di kalangan orang dewasa dihapuskan dengan penubuhan kelas Pelajaran Dewasa. Menerusi kelas ini, dalam masa 10 tahun dari tahun 1960 hingga 1970 lebih tiga juta orang dewasa yang buta huruf di seluruh negara dapat dicelikkan. Di merata desa muncul Pusat Bidan dan Klinik Kesihatan meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
   Kemudahan infrastruktur digiatkan dengan pembukaan jalan-jalan baru bagi kemudahan rakyat. Jalan raya persekutuan dan negeri serta jambatan-jambatan telah diperbaiki. Antaranya ialah 26 jambatan di Sungai Kelang dan jalan raya Temerloh-Maran, Kuala Lumpur-Kuantan, Ajil-Jerangau di Terengganu, jalan-jalan di Petaling Jaya, Pantai Timur, Kedah dan lain-lain jalan Persekutuan dan kawasan tali air Sungai Perak. 

   Pelbagai gerakan telah dilancarkan seperti Gerakan Maju, Jayadiri dan Gerakan Pembaharuan dengan tujuan untuk menukar paradigma dan cara hidup tradisi orang Melayu serta menggalakkan mereka bergiat aktif menyertai rancangan pembangunan. Kempen Jayadiri pertama kali telah dilancarkan di Tanjung Karang Selangor pada 16 Jun 1968. Gerakan Bumi Hijau dilancarkan ketika negara menghadapi inflasi kewangan (stagflasi) untuk menggiat jentera kerajaan melibatkan rakyat dalam rancangan penggunaan tanah, tanaman jangka pendek, pekebunan kelompok, ternakan dan pemeliharaan ikan air tawar.

   Tun Abdul Razak dengan tongkat yang tidak pernah lepas dari tangannya menemui rakyat di seluruh ceruk rantau untuk memastikan pembangunan yang telah dirancang sampai kepada mereka. Tanpa jemu dan mengenal erti lelah Tun Razak tidak pernah lari dari fokus utamanya untuk membasmi kemiskinan, kejahilan dan meningkatkan taraf kesihatan terutamanya di kalangan penduduk luar bandar. Semangat untuk mewujudkan asas ekonomi yang kukuh kepada rakyat khususnya golongan petani bagi menjamin mereka menerima sepenuhnya hasil dari tanah yang dikerjakan dan menikmati kemudahan kehidupan yang setanding dengan masyarakat di bandar menjadi iltizam dan azam yang berterusan.

 Didorong bayangan kemunduran dan kemiskinin desa semasa kecil di bawah pemerintahan British dan kekejaman Jepun dalam usia remajanya menjadikan usaha memperbaiki kehidupan penduduk kampung menjadi agenda utama apabila menerajui Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Federal Land Development Authority (FELDA) merupakan idea cetusan Tun Abdul Razak yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan. Antara projek terawal yang dilaksanakan oleh FELDA ialah pembukaan rancangan tanah Lembah Bilut (1957) yang meliputi kawasan seluas 22 batu persegi melibatkan perbelanjaan sebanyak $2.5 juta. Melalui rancangan ini setiap peserta diberi tanah seluas tujuh ekar bagi tanaman getah dan tiga ekar tanah dusun. Dari sebuah idea kecil, hari ini FELDA telah menjadi sebuah organisasi raksasa dengan pembukaan lebih setengah juta hektar tanah dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari FELDA.
  
Beliau sampai ke puncak karier politiknya apabila terpaksa mengambil alih pemerintahan negara dalam keadaan darurat, menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), menggantung Parlimen, mengharamkan perbincangan isu sensitif dan menerapkan kesetiaan rakyat melalui Rukun Negara. Beliau mengambil tanggungjawab memulihkan semangat dan keyakinan bangsa yang mulai pudar akibat tragedi hitam 13 Mei 1969 dengan Dasar Ekonomi Baru, mengembalikan demokrasi berparlimen dan menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional dan kestabilan politik melalui penubuhan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 bagi menggantikan Parti Perikatan. Sesingkat usianya, beliau berjaya membawa negara kembali ke landasan demokrasi dan muncul dari celah-celah permasalah itu sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra pada 22 September 1971.
   Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, negara tidak sahaja memperlihatkan dasar ekonomi dan sosial yang radikal dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru berikutan peristiwa 13 Mei 1969 tetapi juga dasar luar Malaysia yang progresif, keluar dari bayangan pro-Barat, bebas dan berkecuali. Walaupun mengekalkan dasar antikomunis dan anti sosialis dalam negeri, tetapi tetap mengekalkan hubungan baik dengan Barat di samping menjalinkan hubungan dengan persahabatan dengan negara-negara komunis dan sosialis selain mendekati negara-negara Islam di Asia Barat dan lain-lain negara Dunia Ketiga.
   Dalam kemelut menangani ancaman pengganas komunis, Tun Abdul Razak berkesempatan melangkahkan kakinya ke Republik Rakyat China sebagai pemimpin Asia Tenggara yang pertama merintis hubungan diplomatik dengan negara komunis itu pada Mei 1974. Tun Abdul Razak dengan kebijaksanaan diplomasi dan dasar luar negaranya menjadikan suara Malaysia didengari oleh kuasa-kuasa besar dunia sehingga di peringkat antarabangsa.

   Terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Tun Abdul Razak terhadap pembangunan sosioekonomi dan sosiopolitik negara, setanding dengan gelaran Bapa Pembangunan yang diberikan kepada beliau. Hakikatnya segala nikmat kemajuan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada denyut pembangunan yang telah dirintis oleh beliau. Tanpa usaha membangunkan kawasan luar bandar, tanpa kemudahan infrastruktur yang dibina untuk kemudahan rakyat, tanpa badan-badan yang dibangunkan untuk memacu pembangunan negara seperti Felda, Felcra, Pertubuhan Peladang, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Perbadanan Nasional (PERNAS), Syarikat Penerbangan Malasyai (MAS), Petrolium Nasional (PETRONAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Teknologi MARA (ITM) yang kemudiannya dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM), Bank Bumiputera dan tanpa MAGERAN dan Rukun Negara, maka tidak akan ada kekuatan ilmu dan profesionalisme yang dapat menegakkan perpaduan, kestabilan, keyakinan diri dan daya saing yang mampu membina maruah negara.

 Tanggal 16 Januari 1976 Tun Razak disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara bersebelahan makam sahabat karibnya Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman. Negara menangisi pemergian seorang negarawan bangsa yang amat gigih, yang tidak pernah jemu untuk terus memerah keringat demi memajukan bangsa dan mengharumkan tanah airnya. Tun Razak telah tiada untuk melihat segala usaha yang dirintis akhirnya menjadi pemacu kepada kepesatan kemajuan negara. Umpama lilin yang membakar diri, hari ini kita melihat hampir setiap institusi pembangunan negara yang berjaya dan bangkit untuk menaikkan martabat bangsa telah dimulakan oleh beliau.

   Pemergian mengejutkan pada usia 54 tahun bersama legasi yang ditinggalkan seharusnya menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat untuk terus mempertahan dan menjadikannya lebih baik untuk Malaysia. Sesuatu yang perlu diakui bahawa agenda pembangunan dan ideologi Tun Abdul Razak telah membina satu landasan untuk mencapai taraf kehidupan, pembangunan dan perpaduan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Hari ini kita kehilangan Tun Abdul Razak, tetapi percayalah bahawa Tun Abdul Razak tidak pernah jauh meninggalkan kita kerana semangat perjuangan negarawan ulung ini tidak pernah padam meskipun telah lebih tiga dekad beliau pulang ke Rahmatullah. Semoga semangat juangnya sentiasa dikenang, terpahat kemas dalam ingatan, menjadi kebanggaan dan membakar semangat. seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan apa yang telah dipelopori oleh Tun Abdul Razak. AL-FATIHAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan