Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan diantara bangunan lama yang terdapat di Kuala Lumpur
dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian
rekabentuknya. Bangunan ini dibina pada tahun 1893. Tetapi perletakan
batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap dibina dan digunakan pada tahun 1897. Nama bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor
yang memerintah pada ketika itu, iaitu dalam tahun 1896. Bangunan itu
merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang gah pada masa itu.
Bangunan tersebut terletak pada satu tapak diantara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak
dan terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu
ditengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur. Keluasan kawasan tersebut
adalah 10,200 meter persegi. Di bahagian belakangnya terdapat Jalan
Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan. Kedudukan
bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran
Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek
yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak. Sebelum merdeka,
Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu,
Pejabat Residen- General, Pejabat Besar Pos dan selepas kemerdekaan
pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1978.
Pelan bangunan ini telah direkabentuk oleh arkitek dari British bernama A.C. Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga berasal dari British, iaitu C.E. Spooner.
Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik seni binanya dan merupakan
diantara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua
tingkat setinggi 57 kaki yang berbentuk ladam dan di tengah-tengahnya
terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas
pokok bunga yang cantik. Terdapat juga tiga kubah, satu menara jam besar
dan sebuah arked.Bangunan ini juga mempunyai satu serambi besar
tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan
ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina Moorish dan Moghul
yang berunsurkan Islam. 3 buah kubah yang menghiasi bangunan ini
membuktikanya. Pada peringkat awal ia diperbuat daripada kayu dan batu
bata yang dicat warna hitam, namun ianya telah digantikan dengan kubah
yang bersalut tembaga. Sebanyak RM 152,000 telah dilaburkan untuk
membina bangunan ini dan merupakan bangunan yang termahal di rantau ini
pada ketika ianya didirikan.
Pada sekitar tahun 1978, pengubahsuaian bangunan telah dibuat dan
siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM
17.2 juta. Pada ketika itu kerajaan Australia
telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi
ketiga-tiga kubah yang terdapat pada bangunan tersebut pada tahun 1982.
Pengubahsuaian dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa
menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut.
Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi
dirasmikan pada tahun 1984.
Pelan Bangunan
Pelan bangunan ini berbentuk ladam
yang mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran/laman segi empat
yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga. Kehadiran laman ini memberi
pengudaraan kepada ruang legar di sebelah tampak dalam bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah anjung yang menghadap ke arah Padang Kelab Diraja Selangor.
Apabila memasuki pintu utama bangunan ini, kita dapat melihat tangga
berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan
bilik-bilik Mahkamah Agung.
Ruang pejabat bangunan ini hampir 100 peratus dikelilingi serambi
yang mana memberikan pengudaraan secara maksima, terutama pada zaman
ianya dibina tidak mempunyai pendingin udara. Kerja membangunkan
bangunan ini telah menggunakan 4 juta buta-bata, 2,500 tong simen,
18,000 pikul kapur, 5,000 paun tembaga, 50 tan besi, keluli dan 30,000
kaki padu kayu. Bangunan ini siap pada tahun 1897 dan dirasmikan dengan
acara gilang-gemilang dengan ucapan Spooner yang menarik mengenai
sejarah pembinaan bangunan tersebut. Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick. Bangunan ini pernah menempatkan beberapa buah Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya, bangunan ini telah menempatkan Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebahagian daripadanya menempatkan Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tampak Bangunan
Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell
mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa
itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan
beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah
membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu
oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.
Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell,
seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi
seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak
bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang
berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman.
Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara
jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi.
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam
besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah
tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat
hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga.
Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah
kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana
ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Arch yang terdapat
di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara
dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang
dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi
oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil
menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan