Ahad, 11 Mac 2012

TOKOH MALAYSIA (BAHAGIAN 4)

Aminuddin Baki

aminuddin bakiAminuddin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941. Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan. Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955 Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil .Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)
 

Tan Sri Paduka Seri (Dr.) Aishah Ghani

aishah ghaniYang Berbahagia Tan Sri Datin Paduka Seri (Dr.) Aishah Ghani telah dilahirkan pada 15 Disember 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor. Beliau telah berkahwin dengan Encik Abdul Aziz Abu Hassan (Allahyarham) dan mereka memperoleh empat orang anak, iaitu Shairudin, Mariati, Datuk Astaman dan Zarim. Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia, dari tahun 1936 hingga 1939. Seterusnya pada tahun 1940 hingga 1943, beliau telah memasuki Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau kemudiannya telah mengambil jurusan kewartawanan di Regent Street Polytechnic di London, pada April 1955 hingga Disember 1958.

Penglibatan Tan Sri Aishah dalam bidang politik bermula dengan kerjayasebagai wartawan dalam Pelita Malaya, lidah rasmi Perti Kebangsaan Melayu (PKM). Sebaik sahaja PKM ditubuhkan, beliau menjadi Ahli Jawatankuasa dan sekaligus mengetuai sayap wanita yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Beliau pernah menyertai perhimpunan dan gerakan menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Beliau telah keluar dari parti ini pada tahun 1946 dan menjadi ahli UMNO pada tahun 1949. Penglibatannya dalam UMNO bermula apabila beliau menjadi ahli UMNO Cawangan Pasar Pudu. Beliau menyertai UMNO Kampung Baru pada tahun 1949 dan diberi tugas sebagai Setiausaha. Sekembalinya beliau dari London pada tahun 1959, beliau bekerja sebagai wartawan di Berita Harian dan penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times. Beliau telah mengundurkan diri dari bidang kewartawanan pada tahun 1963 apabila beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO. Beliau telah menjadi Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor pada tahun 1960 hingga 1972.

Pada tahun 1963, Tan Sri Aishah telah dilantik Senator wanita yang pertama di Malaysia dan menjadi wakil wanita yang pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dari tahun 1967 hingga 1972, beliau menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB. Beliau telah dipilih menjadi Ketua Pegerakan Wanita UMNO Malaysia pada tahun 1972 sehingga 1984. Pada tahun 1973, beliau telah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan ini selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmat beliau pada tahun 1984. Beliau telah melancarkan Yayasan Kebajikan Negara yang masih berfungsi sehingga sekarang. Tan Sri Aishah ialah Pengerusi Tetap Pegerakan Wanita UMNO Malaysia semenjak tahun 1986 hingga sekarang. Kini beliau menjadi Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada tahun 1975, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1985-1997), Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak dan Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah. Selain itu, beliau turut terlibat dalam bidang perniagaan dengan menjadi Pengerusi Electcoms Sdn. Bhd., Pengarah Eksekutif Meditel Electronics Sdn. Bhd., Pengarah Nusa Utama Sdn. Bhd., Hasrat Emas Sdn. Bhd., Pengangkutan Kota Mas Sdn. Bhd., Tanjung Sebaneka Sdn. Bhd. dan Metrojaya Bhd.

Beliau telah dianugerahi bintang Johan Mangku Negara (J.M.N.) pada tahun 1971 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pada tahun 1978, beliau dikurniai Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua (D.P.M.S.) oleh Kerajaan Selangor yang membawa gelaran ‘Datin Paduka’. Beliau dianugerahi bintang Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ oleh Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1985. Setahun kemudian, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1999, beliau dikurniai darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datin Paduka Seri’ oleh DYMM Sultan Selangor. Pada tahun 2002, beliau telah dikurniai Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)
 

Abdul Rahman Talib

rahman talibAbdul Rahman dilahirkan pada tahun 1916 di Temerloh Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahiran beliau dan kemudian melanjutkan pengajian di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak. Abdul Rahman memulakan kerjayanya pada tahun 1940 dengan bertugas sebagai guru di Sekolah Abdullah, Kuantan. Selepas hampir lima tahun menjadi pendidik, beliau dilantik menjadi Penolong Nazir Sekolah-sekolah Melayu Pahang pada tahun 1945. Pada tahun 1952, beliau telah mengasaskan Jabatan Hal Ehwal Agama di Jabatan Pelajaran Pahang.

Beliau sangat aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan selain daripada itu juga merupakan Ahli Bersekutu Majlis Kebangsaan. Pada tahun 1956, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Alam Semula Jadi dan Kerajaan Tempatan. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Pengangkutan pada tahun 1957, Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1959, Menteri Pelajaran pada tahun 1960 hingga 1962, Menteri Kesihatan pada tahun 1962, dan kembali menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1964.

Semasa menjadi Menteri Pelajaran, beliau telah mengemukakan satu laporan yang mengandungi usul dan saranan yang penting untuk memperbaiki sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu. Laporan itu dikenali sebagai Laporan Abdul Rahman Talib. Melalui laporan itu beliau memberi penekanan terhadap peningkatan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pelajaran pada ketika itu.

Di antara saranan yang dikemukan dalam laporan itu mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, pusat latihan guru dan memberi insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Pada tahun 1962, Abdul Rahman telah mendapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya. Ketokohan Abdul Rahman bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga dalam pendidikan. Begitu banyak jasa yang dicurahkan terutama dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau telah bersara pada tahun 1965 dan menghembuskan nafas yang terakhir pada 18 Oktober 1968 di Kaherah, Mesir.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan