Ahad, 11 Mac 2012

TOKOH MALAYSIA (BAHAGIAN 2)

  Tun Tan Siew Sin                                         

Tun Tan Siew Sin dilahirkan di Melaka pada 21 Mei 1916. Beliau berasal dari sebuah keluarga Cina pertama yang tinggal di Melaka. Oleh itu beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau adalah anak kepada Tun Tan Cheng Lock dan Yeo Yeok Neo. Bapanya telah menghantarnya belajar di sekolah perempuan iaitu Suydaim Girls. Sekarang sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Tinggi Methodist. Tindakan bapanya menghantar ke sekolah ini bertujuan agar Tan Siew Sin tidak terpengaruh dengan budak lelaki yang nakal. Tan Siew Sin adalah seorang pelajar yang cerdik dan selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap ujian. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura dan seorang pelajar yang aktif dalam sukan khususnya pasukan hoki. Pada umur 19 tahun, beliau telah menghidapi penyakit batuk kering dan telah dihantar ke Switzerland untuk menjalani pembedahan.

Pada tahun 1938, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England dan lulus dengan memperolehi Kelas Pertama Kepujian. Bagaimanapun Perang Dunia Kedua tercetus menyebabkan beliau terpaksa kembali ke Tanah Melayu. Beliau telah bekerja di ladang bapanya sebagai seorang penyelia. Bapanya mahu beliau mempelajari pengurusan ladang. Apabila Perang Dunia belaku, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu.

Tentera Jepun telah memusnahkan dan menguasai kepentingan British di Tanah Melayu. Tan Siew Sin dan orang Cina yang pro British merasakan tidak selamat dan telah berpindah ke India. Semasa di India, beliau telah bertugas dengan Kementerian Peperangan Ekonomi (Ministry Of Economic Warfare). Tugas utamanya ialah mengembara ke seluruh India. Kesempatan ini, beliau telah menyaksikan penderitaan rakyat India semasa pemerintahan British. Di samping itu beliau telah menyaksikan perjuangan pemimpin-pemimpin kebangsaan seperti Gandhi dan Nehru. Apabila perang tamat pada 1945, beliau sekeluarga kembali ke Tanah Melayu dan membantu keluarga menguruskan perniagaan. Rentetan itu, beliau telah mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam politik. Bagaimanapun, hasrat terhalang apabila bapanya beranggapan bahawa Tan Siew Sin masih mudah untuk berpolitik. Bapanya juga mahu Tan Siew Sin mengurus dan menumpukan kepada perniagaan keluarganya.

Beliau berkahwin dengan Lim Cheng Neo pada 8 Februari 1947 dan dikurniakan tiga orang anak. Pada tahun 1948, beliau telah dilantik sebagai seorang Anggota Badan Perundangan Persekutuan. Pada masa ini, beliau juga aktif dalam Kelab Loteri Melaka dan memegang jawatan sebagai Presiden Kelab tersebut. Pada masa itu juga, aktiviti komunis amat membimbangkan ketenteraman Tanah Melayu. Mereka yang pro-British akan dibunuh oleh komunis. Tan Siew Sin juga aktif dalam Independence Malaya Party (IMP) yang ditubuhkan oleh Datuk Onn Jafaar. Dalam pilihanraya 1952, IMP telah mengambil bahagian tetapi berjaya memenagi satu kerusi dari 12 kerusi dipertandingkan. Pilihanraya umum telah dimenangi oleh Parti Perikatan diwakili UMNO dan MCA. Oleh itu ia membuktikan bahawa IMP tidak mendapat sokongan ramai. Tidak lama selepas itu, Tan Siew Sin telah berkenalan dengan pemimpin UMNO seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail. Dua tahun kemudian, beliau telah bekerjasama dengan Parti Perikatan. Beliau menjadi Bendahari Parti Perikatan dari 1958 hingga 1965.

Dalam tahun 1956, kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan ke atas Tanah Melayu. Pada masa itu, Tan Siew Sin mencadangkan kepada pemimpin UMNO agar memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu. Cadangan tersebut telah diterima selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO. Tan Siew Sin adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dalam pentadbiran. Oleh itu, beliau telah dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Industri oleh Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka. Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan selama 15 tahun bermula tahun 1959. Sebagai Menteri Kewangan, beliau telah memimpin Perwakilan Malaysia bagi mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau juga menjadi Pengerusi bagi Suruhanjaya Kajian Semula Pilihan Raya bagi Seychelles dan orang asing pertama dalam sejarah British menjadi pengerusi suruhanjaya perlembagaan.

Tan Siew Sin adalah pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel daripada 1970 hingga 1971. Bila Tun Tan Cheng Lock meninggal dunia pada tahun 1960, beliau telah mengambil alih sebagai Presiden MCA. Beliau bersara sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1974 atas sebab kesihatan yang serius. Beliau dilantik sebagai Penasihat Kewangan untuk kerajaan Malaysia. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga meninggal dunia pada 18 Mac 1988.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

 

Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah

cempakaYang Berbahagia Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah telah dilahirkan di Kampung Seputih, Kuala Lumpur, pada 5 Ogos 1911. Beliau telah berkahwin dengan Encik Bahadun Haji Hassan (Allahyarham) iaitu bekas Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan yang meninggal dunia pada 28 Julai 1980. Mereka mempunyai dua orang anak. Beliau adalah anak kepada Allahyarham Ahmad Panglima Garang Ishak, bekas Penghulu Kuala Lumpur. Beliau telah menuntut hingga tamat darjah lima di Sekolah Melayu Seputih, Kuala Lumpur di antara tahun 1919 hingga 1923.

Di peringkat menengah pula beliau bersekolah di Methodist Girls School, Kuala Lumpur sehingga lulus Senior Cambridge pada 1928. Beliau merupakan wanita Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge. Seterusnya beliau mengikuti kursus perguruan di English Normal Teachers’ Training Centre dan juga wanita Melayu pertama mengikuti kursus tersebut di Victoria Institution pada tahun 1932. Pada tahun 1929 hingga 1931 beliau telah bertugas sebagai guru pelatih bahasa Inggeris di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur. Dalam tahun 1932, beliau menjadi Inspektor Sekolah Melayu Perempuan Kampung Baru dan dilantik menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama dari 1945 hingga 1948. Sebagai isteri duta pula beliau sentiasa menemani suaminya ke luar negara, iaitu antara tahun 1957 hingga 1968.

Beliau juga melibatkan diri dalam kegiatan politik dan turut berjuang menentang penjajah. Selain itu beliau aktif dalam pelbagai pertubuhan koperasi dan UMNO. Pada tahun 1932, beliau terlibat dengan Selangor Government Servants Co-op Thrift and Loan Society, Kuala Lumpur dan menjadi ahli jawatankuasa hingga tahun 1940. Pertubuhan lain yang disertai adalah Midland Co-op Union, Co-op Union of Malaya, Co-op Insurance of Malaya dan merupakan Ahli Lembaga Maktab Kerjasama. Antara tahun 1955 hingga 1957 beliau telah menjadi Pengerusi Selangor Co-op Thrift and Loan Society dan Presiden Co-operative Union of Malaya juga merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut. Pada tahun 1954 hingga 1964 dan dari tahun 1975 hingga awal 1980-an beliau dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Perumahan Pegawai-pegawai Melayu Selangor. Pada tahun 1954 beliau telah menubuhkan Koperasi Bangunan Rumah-rumah Pegawai-pegawai Melayu Selangor dan menjadi Yang Dipertua Syarikat Bangunan Rumah tersebut sehingga 1964 dan sekali lagi pada tahun 1975. Syarikat ini telah berjaya membeli sebidang tanah dan telah mendirikan 21 buah rumah dan kawasan perumahan ini diberi nama Taman Kamariah sempena nama beliau.

Beliau telah menjadi Kapten bagi Pasukan Pandu Puteri Sekolah Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1939. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Rayuan Penapis Filem Negara dan pada tahun 1979 menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Gombak. Selepas suami beliau meninggal dunia beliau telah mengusahakan syarikat pelancongan. Pada tahun 1953 telah mendapat anugerah British Empire Medal (B.E.M) oleh kerajaan Inggeris. Kerajaan Negeri Selangor telah menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada tahun 1964 dan Jaksa Pendamai (J.P) dalam tahun1969. Pada 8 Mac 1979, menjadi wanita pertama dilantik oleh DYMM Sultan Selangor menjadi Orang Kaya Maha Bijaya Gombak yang dikenali dengan gelaran Orang Besar Daerah Gombak iaitu “Datin Sri Cempaka”.

Pada tahun 1990, pula mendapat Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah. Beliau juga dianugerahi Pingat Kenangan Bakti Guru Melayu Selangor oleh Persatuan Sejarah Malaysia Selangor dan Tokoh Warga Tua Wanita oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1992. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengurniakan bintang Panglima Setia Mahkota (P.S.M) kepada beliau dengan gelaran “Tan Sri” dan kemudian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A) yang membawa gelaran “Datin Paduka”.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

Tan Cheng Lock

tan cheng lockTan Cheng Lock dilahirkan pada 5 April 1883 di 111, Heeren Street, Melaka. Tempat kelahiran beliau ini masyhur dengan bangunan merah iaitu Dutch Stadthuys. Bapa beliau bernama Tan Kheng Ann. Bapa beliau telah berkahwin dengan Lee Seck Bin ketika berusia 18 tahun. Tan Cheng Lock merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik. Mereka mempunyai tiga orang anak yang dilahirkan antara tahun 1880 hingga 1883 iaitu Siang Cheng, Cheng Siew dan Cheng Lock. Kemudiannya mereka dikurniakan empat orang anak lagi iaitu Guat Choo, Guat Kee Guat Poh dan Cheng Juay. Tan Cheng Lock membesar dalam suasana pembelajaran yang tegas. Kemiskinan hidup menyebabkan beliau belajar bersungguh-sungguh dan telah berjaya dalam hidupnya. Beliau telah menamatkan pengajian Standard VII di Malacca High School pada 1899 dan penerima kedua Biasiswa Tan Teck Guan di sekolahnya.

Pelajaran yang cemerlang melayakkan beliau mendapatkan biasiswa, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Raffles Institution, Singapura dari tahun 1902 hingga 1908 dalam bidang undang-undang. Pada tahun 1908, usia beliau genap 25 tahun semasa belajar di Raffles Institution. Pihak pentadbiran Raffles Institution telah memberi peluang kepada penuntutnya berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain dari Kolej Eropah dan ini menjadikan beliau lebih matang dan taat kepada British. Di samping itu bagi menanam kesedaran sivik dan ingin meletakkan satu pejabat kolonial di tanah jajahan British. Dengan bantuan sepupu ibunya, Lee Chin Tuan beliau telah bekerja di ladang getah Bukit Kajang sebagai Penolong Pengurus dari 1908 hingga 1910. Beliau juga mendapat bantuan dari Chan Kang Swi, untuk menjadi ahli perniagaan dalam perusahaan di bawah Malacca Pinda Rubber Estates, Ayer Molek Rubber Company dan United Malacca Rubber Estates.

Tan Cheng Lock dilantik menjadi hakim di Melaka pada bulan Ogos tahun 1912. Berapa bulan kemudian, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya bagi Majlis Perbandaran Bandar dan Port di Melaka dari tahun 1912 hingga 1922. Pada tahun 1913, Tan Cheng Lock berkahwin dengan Yeo Yeok Neo iaitu anak kepada Yeo Tin Hye. Ibunya adalah pemimpin bagi masyarakat Hokkien di Melaka. Mereka dikurniakan lima orang anak iaitu Lily Tan Kim Tin Hye, Wee Geok Kin, Tan Siew Sin, Alice Tan Kim Yoke dan Agnes Tan Kim Lwi.

Pada 1 Januari 1923, ketika Tan Cheng Lock berumur 40 tahun beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Perundangan Tidak Rasmi Selat dan S.S. Executive Council dari tahun 1933 hingga 1935. Semasa tempoh memegang jawatan tersebut, beliau memperjuangkan nasib kaum Cina khususnya dari aspek undang-undang perkahwinan, candu, pendidikan dan isu-isu imigresen. Pada 26 September 1935, Tan Cheng Lock telah bersara dari jawatan sebagai Unoffical Member of the Straits Settlements Executive Council. Dalam tahun 1949, beliau telah dilantik menjadi presiden pertama bagi Malayan Chinese Associations (MCA). Tan Cheng Lock adalah generasi kaum Cina awal 1920-an dan 1930-an yang menyumbang kepada asas Malaysia sekarang. Selama hampir 40 tahun beliau bergiat cergas dan aktif dalam ehwal awam. Beliau meninggal dunia dunia akibat serangan jantung pada 8 Disember 1960 di Hospital Besar Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan