Ahad, 11 Mac 2012

TOKOH MALAYSIA (BAHAGIAN 3)

Tun Dr. Ismail

dr ismailIsmail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915. Bapanya Abdul Rahman bin Mohamed Yassin adalah bekas pegawai perkhidmatan awam kerajaan Johor pernah menyandang jawatan Presiden Pertama Dewan Negeri iaitu jawatan tertinggi dalam Kerajaan Johor. Ibunya, Zaharah binti Abu Bakar meninggal dunia sewaktu Tun Dr. Ismail berumur sembilan tahun. Beliau mempunyai lapan orang adik beradik.

Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Norashikin binti Dato’ Mohd. Seth dan mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan. Tun Dr. Ismail adalah peminat sukan. Di antara sukan yang digemari ialah golf, ragbi, tenis, badminton, tinju dan bola sepak. Tun juga mempunyai minat dalam bidang fotografi, pengemar lagu-lagu Melayu Asli, suka mengumpul barang-barang antik seperti paip dan pemetik api serta bercucuk tanam pelbagai jenis pokok bunga dan buah-buahan di persekitaran rumahnya.

Tun Dr. Ismail telah belajar di Sekolah English College, Johor Bahru dan kemudian menyambung pelajaran ke Maktab Perubatan, King Edward VII College of Medicine, Singapura pada tahun 1935 hingga 1937 dan selepas itu melanjutkan pelajarannya ke Australia. Beliau telah mendapat Ijazah Perubatan dari Universiti Melbourne, Australia dalam tahun 1945 dan merupakan anak Melayu pertama yang lulus dari Universiti tersebut. Setelah kembali ke Tanah Air beliau telah membuka klinik perubatan sendiri yang dinamakan Tawakkal dari tahun 1947 hingga 1952 di samping bekerja secara sambilan di Hospital Besar, Johor Bahru.

Pada tahun 1953, beliau mula melibatkan diri sepenuh masa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui UMNO yang dipimpin oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra. Sebelum itu, Dr. Ismail pernah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau telah menyandang jawatan Menteri Hasil Bumi hingga tahun 1955. Setahun kemudian beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian yang pertama. Beliau juga terlibat dalam rombongan Ketua Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra ke London pada 18 Januari hingga 8 Februari 1956 kerana rundingan mengenai Kemerdekaan.

Setelah mencapai kemerdekaan, Dr. Ismail dilantik sebagai Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Washington di samping menjadi Wakil Tetap di Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada bulan September 1957 beliau hadir di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah Malaya di terima sebagai anggota pertubuhan itu. Memandangkan pengalaman beliau di arena antarabangsa, pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pada tahun 1960 pula beliau dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan tiga bulan selepas itu ditugaskan menjalankan kerja-kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pada tahun 1967, Tun Dr. Ismail mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana kesihatan sering terganggu disebabkan penyakit jantung. Walau bagaimanapun beliau telah kembali berkhidmat pada bulan Mei 1969. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dengan tindakan yang tegas beliau berjaya memulihkan keamanan dalam negara pada masa trajedi 13 Mei 1969. Setelah Y.T.M Tunku Abdul Rahman bersara pada tahun 1970, Allahyarham Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Tun Razak telah melantik Tun Dr. Ismail sebagai timbalannya di samping menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Tun Dr. Ismail terkenal di kalangan pemimpin kerajaan dan antarabangsa kerana kebijaksanaannya dalam berhujah serta idea-idea yang membina dan bernas. Beliau adalah orang yang mula-mula menganjurkan Dasar Berkecuali Asia Tenggara. Ketika menyandang jawatan Menteri Kehakiman beliau telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Kehakiman Komanwel di Australia dan Persidangan Keamanan Dunia melalui undang-undang di Washington pada tahun 1965. Beliau juga telah mewakili Malaysia di upacara perlantikan Presiden Filipina dalam bulan Disember 1965. Dalam tahun 1964, berikutan tindakan Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia Tun Dr. Ismail telah diutus ke New York sebagai ketua rombongan untuk membentangkan perkara Malaysia/Indonesia dalam Majlis Keselamatan pada 5 November 1964.

Tun Dr. Ismail pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara. Kali terakhir memangku ketika Allahyarham Tun Abdul Razak berada di Kanada bagi menyertai persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Negara-Negara Komanwel. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973 dalam usia 57 tahun di rumahnya. Beliau telah menerima pelbagai anugerah samaada dari dalam atau luar negara kerana kecemerlangan menjalankan tugas dan tanggungjawab. Antaranya Darjah Panglima Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1959. Majlis Senat Universiti Malaya turut memperingati dan menghargai jasa beliau dengan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada 13 Jun 1964. Seterusnya pada bulan Oktober 1965, beliau menerima Darjah Kebesaran Vietnam iaitu Vietnam National Order Grand Officer dan dalam bulan yang sama dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) daripada Sultan Johor.

Pada bulan April tahun 1966 beliau telah di anugerahkan pingat Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun. Ketokohan Tun juga mendapat penghargaan kerajaan Indonesia apabila dikurniakan Bintang Republik Indonesia Kelas Dua. Penghargaan ini diperolehi ketika Presiden Suharto melawat Malaysia pada tahun 1970. Dalam Konvensyen Pertama Universiti Sains Malaysia pada 9 Januari 1973 Tun Dr. Ismail telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang. Sebagai menghargai jasa-jasa Tun Dr. Ismail terhadap negara dan bangsa jenazah beliau telah disemadikan di Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara atas kehendak Tun Abdul Razak. Beliau merupakan pemimpin pertama dikebumikan di makam tersebut. Tugas rasmi yang terakhir dilakukannya adalah merasmikan Perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 2 Ogos 1973.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)
 
 

Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah

fatimahYang Amat Berbahagia Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah telah dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Kurma, Muar, Johor. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Yusof (Allahyarham) dan mereka mempunyai enam orang anak. Beliau merupakan wanita petama dilantik Menteri Kabinet, iaitu Menteri Kebajikan Am Malaysia. Jawatan itu telah dipegang dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Kurma, Muar, kerana pada masa itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Melayu perempuan Mersing dan telah belajar bahasa Inggeris di sekolah malam dengan guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Murid Perempuan, Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, Ketua Murid Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek. Tun Fatimah telah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru, dan memegang jawatan sebagai Bendahari.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga, beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Puan Khadijah Sidek. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

Pada tahun 1959, beliau sekali lagi berpindah mengikut suaminya yang bertugas dalam pekhidmatan kerajaan ke Kedah. Di sana, pada tahun yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon pilihanraya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangan pada tahun 1959 diulangi sebanyak dua kali lagi menjadikan beliau ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut. Pada 20 Mei 1969, beliau telah dilantik Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga besara pada bulan Februari 1973. Selain bidang politik, Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial terutamnya dalam pertubuah wanita.

Pada tahun 1962, sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau telah memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos. Perayaan tersebut disambut sehingga hari ini. Setahun selepas pelancaran Hari Wanita, diputuskan supaya sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita ditubuhkan, antara lain, menjadi urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani pesoalan-persoalan wanita semasa. Badan tersebut diberi nama Majlis Kebangsaan Petubuhan-pertubuhan Wanita atau National Council of Women’s Organisations (NCWO).

Tun Fatimah telah dipilih sebagai Timbalan yang Dipertua bagi penggal petama (1962-65). Beliau kemudiannya dilantik Yang Dipertua dan menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989. Beliau juga telah menjadi Ahli Jawatankuasa Lembaga Loteri Kebajikan Masyarakat, Ahli Majlis Universiti Malaya, Ahli Jawatankuasa Hospital Assunta, Ahli Jawatakuasa Sekolah Latihan Wanita Ipoh, Ahli Jawatankuasa Perikatan Peringkat Malaya dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pepaduan Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pernah dilantik Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, dengan sedirinya beliau menjadi Naib Yang Dipetua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik.

Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Tun Fatimah seringkali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam mahupun di luar negara. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa dalam tahun 1965 di Tehran. Pada tahun 1963, beliau telah membuat lawatan sambil belajar selama dua bulan ke Amerika Syarikat dan sebagai Menterei Kebajikan Am, beliau telah membuat lawatan ke negara-negara jiran, misalnya ke Indonesia. Sebagai Presiden NCWO juga, beliau telah mengikuti beberapa persidangan wanita antarabangsa.

Pada 31 Ogos 1958, beliau telah dianugerahi bintang Panglima Mangku Negara (P.M.N) oleh Sri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong yang membawa gelaran ‘Tan Sri’. Universiti-universiti tempatan juga telah memberi penghormatan kepada beliau seperti Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya pada tahun 1975 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidkan oleh UTM pada tahun 2000. Sebelum itu, pada tahun 1995, UTM telah melantik beliau sebagai Pro-Canselor. Pada tahun 2003, beliau telah dikurniai darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong yang membawa gelaran ‘Tun’.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)
 
 

Dato' Siti Norma binti Yaakob

siti normaDato' Siti Norma Bt. Yaakob merupakan hakim wanita yang pertama di negara kita. Beliau dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Julai 1940. Beliau memulakan kerjanya pada Jun 1963 apabila dilantik sebagai Penolong Pendaftar Kanan di Makamah Persekutuan.

Pada Januari 1967 beliau telah dilantik pula sebagai Presiden Wanita Mahkamah Seksyen yang pertama. Pada tahun 1988, Dato' Siti Norma telah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Wanita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan tersebut.

Sebagai tanda pengiktirafan beliau telah dianugerahkan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan pada Julai 1987. Beliau telah mendapat "Barrister of Law" di Gray's Inn, London. Beliau pernah menjadi Ahli Konsul Eksekutif, Eisenhower Fellows Association Malaysia semenjak 1992 dan kemudiannya dilantik sebagai hakim di Mahkamah Rayuan pada 17 September 1994.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan