Ahad, 18 Mac 2012

PILIHANRAYA PERTAMA TAHUN 1955

Pilihanraya Umum

Dalam pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1955, Parti Perikatan memperoleh kemenangan yang paling besar sehingga Tunku Abdul Rahman dan Dato Tan Cheng Lock tidak menyangka parti mereka akan mendapat kejayaan besar.
Kemenangan Parti Perikatan menunjukkan bahawa dasar perjuangan mereka sesuai dengan kehendak penduduk Tanah Melayu. Pada umumnya penduduk Tanah Melayu masih mementingkan kaum masing-masing, tetapi demi mencapai kemerdekaan perasaan tersebut dapat diatasi. Rakyat percaya bahawa cara yang paling praktis ke arah kemerdekaan ialah melalui kerjasama antara kaum.
Lebih daripada 80 peratus pengundi memberi sokongan mereka kepada Parti Perikatan. Semua parti lain yang turut bertanding dalam pilihanraya itu kalah. Ini bermakna pendirian semua parti lain tidak meyakinkan rakyat. Parti Negara mengalami kekalahan yang teruk, kerana setengah-setengah pemimpinnya termasuk Dato Onn, dianggap terlalu rapat dengan pendirian British.
Parti Negara berpendapat bahawa Tanah Melayu masih belum bersedia mendapat kemerdekaan. Nasib yang sama juga menimpa parti-parti kecil lain seperti Persatuan Kebangsaan Perak (National Association of Perak-NAP), Liga Melayu Perak dan Parti Progresif Rakyat (PPP) yang hanya mewakili kepentingan peringkat negeri ataupun daerah. Parti Buruh Se-Malaya yang berfahaman sosialis tidak mendapat sambutan. Parti Islam Se-Malaya (PAS) hanya mendapat satu kerusi sahaja.
Parti Perikatan telah terbukti diterima oleh rakyat berdasarkan keputusan pilihanraya itu. Di beberapa kawasan yang kebanyakan pengundinya terdiri daripada orang Melayu, calon Parti Perikatan yang berbangsa Cina menang dengan mandapat undi yang banyak, dan di beberapa kawasan yang mempunyai kebanyakan pengundi Cina memilih calon Parti Perikatan yang berbangsa Melayu. Keadaan ini kelihatan lebih jelas lagi dalam keputusan pengundian di Batu Pahat. Calon MIC, Chelvasingam MacIntyre, yang mewakili Parti Perikatan, telah mengalahkan calon Parti Negara, seorang calon Melayu, dengan mendapat kelebihan 16,000 undi. Di Batu Pahat pada masa itu hanya ada 500 pengundi India dan 5,000 pengundi Cina, manakala yang lain semuanya orang Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan