Ahad, 11 Mac 2012

TOKOH MALAYSIA (BAHAGIAN 1)

Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz

zetiY.M. Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz dilahirkan 27 Ogos 1947 yang merupakan anak kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan Sharifah Azah Aziz, adalah wanita yang pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau juga dilihat sebagai salah seorang wanita yang begitu berkuasa di Malaysia.

Beliau dilahirkan di Johor Bahru dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada 1958. Pada tahun 1970, beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal kemudain melanjutkan pengajian sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (South-East Asia Central Bank Training & Research Centre) pada tahun 1979 hingga 1984. Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.

PAda tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia. Pada 1 September 1998, beliau dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri. Kemudian pada 1 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dari tahun 1998 - 2000. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd sejak tahun 2004.
 

YM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz

ungku azizYM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan dan seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau juga memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV 1993

Beliau dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, merupakan keturunan diraja Johor. Bapanya Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor (JVC). Ibunya bernama Hamidah bte Abdullah.

Beliau telah berkahwin dengan Azah Aziz telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Y.M. Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Pahat, kemudian menyambung pengajiannya di Raffles College kemudiannya Universiti Malaya Singapura dan mendapat ijazah pada 1951.

Kemudian pada 1964, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Waseda University, Tokyo. Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951, kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1952-1961). Pada tahun 1961-1965, beliau telah dilantik sebagai Professor dan Dekan di Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya,Kuala Lumpur.

Kemudian dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988. Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun. Beliau yang dianugerahkan gelaran Professor Diraja pada 17 Jun 1978, juga merupakan pengasas gerakan koperasi dan Yang Dipertua ANGKASA sejak ditubuhkan pada 1971. Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Beliau juga merupakan Pengerusi Cosmopoint.

Beliau juga menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama ‘Anugerah Melayu Terbilang’ sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 11 Mei 2005. Antara sumbangan utama Ungku Aziz kepada negara ialah:-

• Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membantu bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara(Mapen) II.
• Pencetus idea penubuhan
- Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LTH)
- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
- Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad(Angkasa)
- Universiti Malaya
- Akademi Islam
- Pusat Asasi Sains
- Pekanbuku.
 

Tun Abdul Ghafar bin Baba

tun ghafar babaTun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politiknya.

Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun.

Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan menjadi Naib Presiden UMNO.

Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955.Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1963 dan merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 4 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir.

Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA dari 1 September 1967 hingga 31 Otober 1971 dan merupakan pengasas Kolej MARA yang kini sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd selama 10 tahun bermula 1 September 1976.

Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku presiden selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan