Pelbagai masalah yang tercetus dalam masyarakat kita hari ini, antaranya kerana gagal menyelusuri dan memahami sejarah. Ada yang mempertikaikan institusi raja dan membangkitkan hak orang Melayu. Mengambil iktibar dari peristiwa lalu, jelas kepada kita bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara terletak keoada kekukuhan jati diri setiap warganya, kewibawaan pemimpin dan kedaulatan raja-raja.
Malah pengorbanan pemimpin terdahulu dalam memerdeka dan membangunkan negara ini wajar dihargai dan dijadikan teladan oleh semua. Raja-raja Melayu pula berperanan sebagai penaung dan tonggak perpaduan bagi semua rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama yang dianuti.
Dalam sekian lama mempertahankan hak dan kedaulatan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu tidak sekali-kali mengenepikan hak kaum lain. Sebagai rakyat kita perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap raja kita.
Oleh itu marilah kita hayati pengajaran daripada peristiwa Malayan Union. Setelah tamat perang dunia kedua, British telah mentadbir semula Tanah Melayu melalui Pentadbiran Tentera. Dalam pada itu, kerajaan British telah bersedia dengan satu sistem pentadbiran sivil yang mengejutkan seluruh rakyat Tanah Melayu iaitu Malayan Union.
Pentadbiran Malayan Union (1.4.1946 -1948), secara umumnya telah menukar taraf kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negeri naungan kepada negeri jajahan British. Kuasa pentadbiran Tanah Melayu terletak sepenuhnya kepada Gabenor British. Ini menyebabkan raja-raja Melayu bukan sahaja kehilangan kuasa melindungi rakyat negerinya malah turut kehilangan kuasa memerintah negeri masing-masing. Sebaliknya bidang kuasa baginda hanya dihadkan kepada hal-hal berkaitan adat resam dan agama Islam sahaja.
Malayan Union juga memperuntukkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura tanpa mengira bangsa termasuk juga pendatang yang telah tinggal melebihi 10 tahun. Warganegara Malayan Union juga akan memperoleh hak-hak yang sama termasuk penerimaan masuk ke dalam perkhidmatan awam.
Kuasa raja-raja Melayu dan persoalan kerakyatan di bawah Malayan Union ini telah membangkitkan kemarahan seluruh orang Melayu. Perasaan tidak puas hati ini mula tersebar luas. Suara-suara kritikan diluahkan dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis dan juga Warta Negara. Para cendekiawan dan pemikir menyuarakan keresahan dan melontarkan idea bagi membangkitkan semangat agar orang Melayu bersatu dalam menggalas masalah yang dihadapi secara lebih telus dan bersepadu.
Situasi ini akhirnya telah mencetuskan satu gelombang bersepadu antara suara rakyat dan pemerintah dalam menentang dasar Malayan Union. Kemunculan Malayan Union menyuntik kesedaran orang Melayu bahawa perjuangan besar untuk mendapatkan kembali maruah dan kedaulatan negara tidak mungkin tercapai dengan suara minoriti.
Menyedari hakikat ini, satu kongres yang menghimpunkan 41 buah persatuan Melayu seluruh negara diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Selangor pada 1 hingga 4 Mac 1946. Kongres ini didokong dan digerakkan oleh Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Pengerusi Persekutuan Melayu Selangor, Dato Onn Jaafar, Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung dan Dato Panglima Bukit Gantang, Yang Dipertua Ikatan Melayu Perak, bersama-sama pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu yang lain di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.
Kongres Melayu yang pertama ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Dalam ucapan perasmiannya, baginda Sultan amat menyokong penuh penubuhan sebuah Persatuan Umat Melayu yang kuat di Tanah Melayu bagi menjamin kepentingan dan hak orang Melayu serta negara terus terpelihara. Kongres yang berlangsung selama empat hari tersebut telah membuat tiga ketetapan utama iaitu, penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.
Dengan ketetapan tersebut, akhirnya UMNO secara rasminya diisytiharkan penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor. Cogankata ”Hidup Melayu” mendasari perjuangan UMNO pada ketika itu yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, cogankata ”Hidup Melayu” ditukar kepada ”Merdeka”. Berlandaskan cogankata ini, perjuangan UMNO diperhebatkan sehingga negara berjaya beroleh kemerdekaan.
Kejayaan tersebut adalah hasil permuafakatan dan sokongan padu seluruh rakyat kepada pemimpin dan Raja-raja Melayu. Rakyat mulai sedar, kita tidak boleh selamanya berada di bawah telunjuk penjajah. Fenomena ini merupakan satu kejutan besar kepada pihak British yang sentiasa beranggapan bahawa orang-orang Melayu adalah bangsa yang lemah dan pasif dalam mengendalikan keperluan serta kepentingan masyarakat mereka sendiri.
Rentetan peristiwa sejarah negara ini amat penting difahami dan dihayati oleh semua rakyat negara ini, tanpa mengira lapisan masyarakat dan batas kaum. Malayan Union walaupun singkat usianya, meninggalkan impak yang amat hebat dan ia merupakan satu pengajaran yang amat berharga buat kita semua sebagai generasi pewaris.
Satu perkara menarik yang perlu diketahui umum, kegagalan pelaksanaan Malayan Union di Tanah Melayu tidak langsung bergantung kepada kekuatan bala tentera atau jumlah senjata yang digunakan. Tidak juga melalui sebarang pertempuran atau keganasan. Sebaliknya, penentangan yang diajukan adalah melalui pergabungan kuat suara rakyat serta pemimpin yang dipayungi Raja-raja Melayu. Penyatuan suara ini juga amat unik sehingga dapat merungkai segala percaturan dan rancangan rapi yang disusun oleh pihak British.
Jalinan erat kerjasama antara rakyat, pemimpin dan raja ibarat selirat akar di umbi. Teguh akar dan umbi, maka teguhlah pokoknya.Cetusan semangat dan inspirasi dari Malayan Union perlu diambil dan disemat sentiasa dalam jiwa setiap rakyat ketika mengharungi apa jua kemelut dan keadaan. Ketelusan, kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin pula akan membawa rakyat dan negara ke arah kemajuan yang seimbang, kemakmuran dan kesejahteraan.
Hakikat yang perlu kita fahami ialah institusi raja yang diwarisi secara tradisi sejak dari dahulu ini sesungguhnya amat penting buat kita semua dan wajar untuk ia dipertahankan bersama. Jika hilang tradisi ini, maka hilanglah tonggak warisan negara. Dan hilangnya juga tidak akan berganti lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan