Isnin, 2 November 2009

Konsep One Malaysia

SEJARAH MENJANA 1MALAYSIA
1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pengertian ini bertunjangkan hasrat untuk mencapai status negara maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Formula 1Malaysia digagaskan daripada dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan dan aspek kedua adalah berdasarkan penerapan Nilai-Nilai Aspirasi. Teras-teras perpaduan mencakupi tiga perkara utama iaitu pertama, sikap “penerimaan” antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, tawadhuk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tutur kata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan. Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen tersebut merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan undang-undang dan dasar negara; kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan