Khamis, 19 Januari 2012

Selasa, 17 Januari 2012

Pakar Sejarah Berpendapat Silibus Baru Teks Sejarah Tidak Harus Masukkan Mitos

PETALING JAYA- Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim menegaskan sudah tiba masanya untuk Kementerian Pelajaran mengeluarkan teks yang berbentuk mitos dari semua buku sejarah.

Ini termasuklah kisah mengenai Puteri Hang Li Po, Hang Tuah dan empat sahabatnya lagi iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi daripada semua buku teks sejarah kerana kehadiran mereka dalam masyarakat negara ini adalah lebih berunsurkan mitos daripada fakta sejarah.
Menurut beliau, tidak ada rekod bertulis tentang kewujudan tokoh-tokoh berkenaan melainkan ia adalah sebahagian daripada teks penglipur lara dan kesusasteraan Melayu tetapi tidak dapat dibuktikan dari segi sejarah.
Kesemua mereka, menurut beliau hanyalah satu mitos yang telah dimasukkan ke dalam teks Sejarah negara ini.
Menurut beliau, ini adalah di antara beberapa perkara yang telah disyorkan dalam buku teks Sejarah yang akan digunakan sebagai silibus pada tahun 2014 nanti.
Profesor Khoo yang merupakan salah seorang daripada ahli jawatankuasa yang dilantik untuk menilai semula kandungan teks buku Sejarah menegaskan cerita-cerita berunsur mitos, cerita rakyat dan sebagainya tidak harus dimasukkan sebagai sebahagian daripada teks sejarah negara.
"Agenda utama jawatankuasa ini adalah untuk memastikan semangat patriotisma terus wujud di dalam diri pelajar tetapi pandangan peribadi saya ialah, cerita-cerita berunsur mitos dan legenda tidak wajar dimasukkan sebagai sebahagian daripada fakta sejarah kerana ia bukanlah fakta tetapi mitos," ujarnya ketika dihubungi oleh The Star.
Bagaimanapun tegas Profesor Khoo, jika jawatankuasa ini masih mahu mengekalkan cerita-cerita tersebut di dalam buku sejarah maka ia haruslah dinyatakan dengan jelas bahawa ini hanyalah satu cerita rakyat dan bukannya satu fakta sejarah.
Beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa ini masih di peringkat menilai silibus Sejarah yang diguna pakai sekarang.
"Oleh kerana yang demikian, saya tidak boleh lagi menyatakan sejauh manakah kandungan pada silibus sekarang akan dikekalkan dan mana yang akan dikeluarkan tetapi penekanan kita ialah untuk memastikan aspek dan fakta sejarah diberi perhatian yang khusus.
"Ini kerana, hari ini jika kita bertanya siapakah orang Melayu pertama yang dilantik sebagai kakitangan awam atau pada tahun berapakah negara ini buat pertama kalinya diperkenalkan dengan kuasa elektrik, saya pasti tidak ada yang tahu.
"Sedangkan nilai sejarah itu ialah ia sepatutnya membantu kita semua menjelaskan situasi hari ini dan di mana kedudukan kita hari ini," tegas beliau lagi.
Pada tahun 2010, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa teks matapelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini telah mendorong pelbagai pihak menyeru kerajaan supaya mengkaji balik silibus teks Sejarah sekolah agar ia memberi gambaran yang lebih jelas dan relevan dengan perjalanan dan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara.
Pada 3 Mei 2011, kerajaan mengumumkan pelantikan sebuah jawatankuasa 10 anggota untuk mengkaji dan menilai semula kandungan buku teks Sejarah.